Malaysia Berdepan Laluan Sukar Apabila Seri 1-1 Dengan Thailand

Assalamualaikum, KUALA LUMPUR, 9 Dis - Malaysia gagal memanfaatkan peluang terbaik beraksi di halaman sendiri apabila seri 1-1 menentang Thailand pada separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini Ahad malam.

Keputusan itu ternyata menyaksikan anak buah Datuk K. Rajagobal berdepan tugas sukar apabila kedua-dua pasukan bertemu pada separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai di Bangkok pada Khamis ini.

Malaysia, juara bertahan, bermula garang di awal babak permainan dengan asakan ke kubu pertahanan Thailand namun ketumpulan jentera serangan menafikan peluang yang terhidang.

Sebaliknya, Thailand yang sekali-kala melancarkan serangan ke arah pintu gol tuan rumah hampir memecah kebuntuan pada minit ke-19 apabila sepakan kencang Phichitphong Choeichiu dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar Mohd Farizal Marlias.

Tersentak dengan percubaan tersebut, pemain Harimau Malaya kembali mengatur serangan dan hasil hantaran silang Mohd Bunyamin Omar, gagal ditanduk kemas Azammuddin Mohd Akil pada minit ke-20.

Malaysia berpeluang berada di hadapan pada minit ke-32 namun kuisan Baddrol Bakthiar menerusi sepakan sudut Safiq Rahim berjaya ditampan keluar penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan.

Seminit kemudian giliran Safiq pula mengancam pintu gol lawan tetapi sepakan percumanya ditepis keluar penjaga gawang Thailand untuk kedudukan tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Tiga minit selepas permainan bersambung, Norshahrul Idlan Talaha kembali menemui rentak pemusnah apabila menanduk masuk gol pertama Harimau Malaya hasil hantaran silang Mahali Jasuli.

Ketinggalan satu gol, skuad Gajah Putih mengasak pintu gol tuan rumah namun benteng pertahanan Malaysia kebal daripada dibolosi.

Norshahrul, pemain paling bernilai, hampir menggandakan jaringan pada minit ke-63 selepas berjaya mengelecek pertahanan Thailand namun sepakannya dalam kotak penalti sedikit tersasar.

Thailand hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-66 apabila rembatan kencang pemain gantian Apipoo Suntornpanavej ditepis keluar oleh Mohd Farizal untuk sepakan sudut.

Pasukan pelawat akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-79 menerusi penyerang berbisa mereka, Teerasil Dangda yang menanduk masuk bola hasil umpaman rakan sepasukan untuk menewaskan Mohd Farizal.

Kelantangan jurulatih Thailand, Winfried Anton Schafer yang sering membantah keputusan pengadil akhirnya membawa padah padanya apabila beliau diarah meninggalkan padang pada minit ke-81.

Kesempatan itu digunakan sepenuhnya pasukan Malaysia untuk merencanakan gerakan dan Safee Sali yang masuk menggantikan Amar Rohidan hampir meletakkan Malaysia di hadapan pada minit ke-87 namun tandukannya ditepis keluar penjaga gol Thailand.

Pada babak-babak akhir permainan, Malaysia mengatur serangan bertali arus ke kubu Thailand namun peluang yang ada disia-siakan untuk kedudukan tersebut kekal sehingga tamat permainan. - Bernama

0 comments:

Free Auto Malaysia Backlinks Free Auto Malaysia Backlinks Free Auto Backlinks Free Autom Backlink Generator Free Backlinks Kedai Backlink,Backlink Percuma Free Auto Backlinks