Bersatu, Aspirasi Rakyat Palestin

Assalamualaikum, KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Bak kata pepatah Melayu "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Pepatah ini menjelaskan kisah rakyat Palestin yang diserang oleh rejim Israel baru-baru ini menyebabkan lebih daripada 160 warga Palestin terbunuh dan lebih kurang 1,000 orang cedera.

Warga Palestin percaya mereka perlu bersatu untuk menamatkan pendudukan Israel dan kekejaman berterusan yang disebabkannya. Rakyat Palestin mahu berjuang di bawah satu panji.

Ekoran gencatan senjata pada 21 Nov, selepas Israel mengganas selama lapan hari, menamatkan lebih banyak pertumpahan darah. Namun seruan supaya perdamaian antara dua puak bertelagah - Fatah dan Hamas - lebih ketara kerana rakyat Palestin menyedari bahawa selagi mereka tidak bersatu mereka tidak mampu melawan Isreal.

Fatah dan Hamas telah menandatangani perjanjian damai pada April lepas dengan Mesir berperanan sebagai orang tengah. Ekoran persetujuan antara kedua-dua pihak itu, kini terdapat peluang untuk mereka bergabung dan membentuk kerajaan sementara sebelum pilihan raya umum diadakan.

PERPADUAN FATAH-HAMAS

Dr Abdallah Abdallah, Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Luar Pertubuhan Pembebasan Palestin merungkai aspirasi perpaduan rakyat negaranya.

Beliau memberitahu Bernama bahawa sejak gencatan senjata berkuatkuasa, lebih banyak rakyat Palestin mendesak kedua-dua puak menamatkan konflik mereka kerana tanpa perpaduan mereka tidak boleh mencapai matlamat mereka.

Turut bersetuju dengan pendapat ini adalah Usamah Hamdan, Ketua Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa Hamas. Walaupun perbezaan pendapat tetap wujud, beliau percaya rakyat Palestin harus bersatu dalam memperjuang kebebasan mereka.

"Kita perlu kekal bersatu walaupun mungkin bercanggah dalam pendapat. Kita harus berfikir secara praktikal, dengan menumpukan pada satu negara Palestin yang bersatu, di sebalik berhujah mengenai perpecahan," kata beliau.

Inilah kata-kata para pemimpin. Rakyat juga mahukan Palestin yang bersatu seperti yang dijelaskan oleh Ahmed Mezhar, seorang petugas Kementerian Ekonomi Palestin dalam temu bual bersama wartawan Bernama di Gaza baru-baru ini.

"Perpaduan adalah pilihan terbaik dalam menangani pendudukan rejim Yahudi sekarang ini," katanya.

SERANGAN LAPAN HARI DI GAZA

Hamdan berkata serangan di Gaza bermula sebaik sahaja Emir Qatar Sheikh Hamad bin Khalifa al-Thani melawat Gaza pada 23 Okt.

Rakyat Israel hampa kerana buat pertama kali menaruh harapan tinggi yang sekatan di Gaza akan ditarik balik, oleh kerana Emir Qatar itu membiayai beberapa daripada projek di Palestin, katanya.

Menurut Hamdan, serangan terbaharu Israel memusnahkan kediaman enam pemimpin Palestin. Selain daripada itu, Ahmed Al-Ja'bary, ketua turus kedua tertinggi sayap tentera Hamas terbunuh.

Tentera Yahudi beranggapan yang keenam-enam pemimpin itu berada di rumah masing-masing, katanya, dan sebuah daripada rumah itu adalah milik Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniyeh.

"Tentera Israel hanya berjaya membunuh Al-Ja'bary. Mereka gagal dalam misi mereka membunuh enam lagi pemimpin," kata Hamdan.

GENCATAN SENJATA

Dr Abdallah berkata selain daripada gencatan senjata, juga terdapat isu lain yang perlu dibincangkan.

"Gencatan senjata ini tidak akan menyelesaikan semua masalah kami. Ia bergantung kepada sama ada Israel sedia berundur, membuka pintu masuk sempadan ke Gaza dan menghentikan segala bentuk kekejaman terhadap rakyat Palestin," katanya.

Dr Abdallah berkata terdapat beberapa alasan mengapa Israel bersetuju dengan gencatan senjata. Antaranya adalah perubahan dalam aliran pemikiran beberapa negara Arab yang menghulurkan sokongan kepada Palestin selain kecaman terhadap kuasa barat tertentu kerana menutup mata terhadap keganasan Israel.

PERANAN NEGARAA ARAB DAN OIC

"Beberapa negara Arab membantu kami dan ada juga sebaliknya. Terdapat juga negara Arab yang sepatutnya melakukan lebih banyak lagi bagi Palestin. Kami tidak pergi pintu ke pintu minta bantuan," kata Dr Abdallah.

Beliau berkata Palestin telah menerima bantuan daripada sebilangan negara Arab tetapi negara itu masih memerlukan bantuan politik dan kewangan.

Beliau menunjukkan negara-negara dan entiti-entiti yang menghulurkan bantuan termasuk Kesatuan Eropah, beberapa negara Arab dan Malaysia, yang telah membina dua buah sekolah di Palestin.

Hamdan berkata negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menghulurkan sokongan kepada Palestin.

"Jika rakyat mendesak kerajaan masing-masing, kerajaan mereka akan menunjukkan reaksi dengan menghulurkan sokongan kepada Palestin menerusi OIC," katanya.

Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri Malaysia, berkata OIC terikat dengan kata sepakat khasnya berhubung isu Palestin.

"Setiap pihak perlu bersepakat sebelum kita dapat mencapai matlamat. Untuk meminta kesemua 50 buah negara bersetuju adalah mustahil. Ini kerana ada negara-negara yang menerima ancaman daripada Amerika Syarikat, atau terikat kepada Amerika Syarikat, dan mereka tidak akan menerima mana-mana resolusi yang akan menjejaskan hubungan mereka dengan Amerika Syarikat," jelas beliau.

Beliau menambah kata dasar-dasar yang dirumus Amerika Syarikat tidak akan dikritik secara menyeluruh oleh OIC, tetapi anggota tertentu OIC mungkin mengambil pendirian berlainan.

HARI ANTARABANGSA PERPADUAN

Berhubung Hari Perpaduan Antarabangsa Dengan Rakyat Palestin yang akan diraikan Malaysia pada 3 Dis, Dr Abdallah berkata, "kita tidak mahu penduduk Palestin sekadar diperingati apabila diserang sahaja".

Beliau berharap penduduk seluruh dunia akan menghulurkan sokongan kepada penduduk Palestin dalam mencapai hasrat mereka dan sokongan yang dihulurkan itu akan diteruskan. "Apa-apa bentuk bantuan, termasuk bantuan kemanusiaan, harus menumpukan pada Palestin secara menyeluruh," katanya.

Dr Abdallah bersetuju bahawa isu Palestin bukan sesuatu yang bersifat sementara, dan perjuangan perlu diteruskan.

Masyarakat antarabangsa turut bersetuju dengan pandangan ini dan memberi jaminan yang Palestin tidak akan bersendirian dalam perjuangan memelihara kedaulatannya.

Ini jelas dapat dilihat apabila Bangsa-bangsa Bersatu pada Khamis mengundi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pemerhati bukan anggota. Resolusi itu diluluskan dengan undi memihak sebanyak 138, dengan 41 berkecuali, di pertubuhan dunia dengan 193-anggota itu.

Keputusan ini jelas menunjukkan perpaduan membawa kekuatan.

0 comments:

Free Auto Malaysia Backlinks Free Auto Malaysia Backlinks Free Auto Backlinks Free Autom Backlink Generator Free Backlinks Kedai Backlink,Backlink Percuma Free Auto Backlinks